R I S A L A H

Suara TARBAWI

Mendukung Cita-Cita Taghyir Islami

Edisi Internet


MUHARRAM 1424H

TAHUN 1: BIL. 1


ISLAM DI TANAHAIRKU

Meneliti realiti kehidupan umat Islam masa kini, jelas kepada kita satu keadaan di mana AlQuran dan Sunnah Rasulillah saw berada di satu lembah manakala amalan hidup umat berada di lembah yang lain. Hakikat AlQuran sebagai perlembagaan hidup hanya sebagai catatan-catatan sejarah apabila hampir semua negara umat Islam mendaulatkan perlembagaan bikinan manusia sebagai perlembagaan negara masing-masing. 

 

Menyingkap aspek pembentukan dan pembangunan sosial, dasar-dasar dan falsafah pendidikan tidak menampakkan kesediaan mendalami dan mencuba untuk melaksanakan sistem pendidikan yang bersumberkan AlQuran dan Sunnah. Sistem-sitem pendidikan yang sedia ada tidak menjurus kepada pembentukan insan muslim mukmin yang menepati kehendak Islam. 

 

Menyentuh aspek pengurusan ekonomi negara, sistem ekonomi berasaskan riba masih menguasai hampir kesemua negara-negara umat Islam. Mereka masih belum dapat melepaskan diri daripada belenggu riba yang mengongkong ekonomi global hari ini. Undang-undang yang mengatur kehidupan masyarakat samasekali tidak bersumberkan syariat yang diwahyukan. Di sana ada dualisma atau sekularisma perundangan dalam negara-negara umat Islam. Kewujudan bersama Mahkamah Sivil yang mendaulatkan undang-undang bikinan manusia dan Mahkamah Syariah yang menghukum kesalahan-kesalahan syar’iyah bersumberkan enakmen-enakmen manusia tidak pernah berlaku samada dalam zaman Rasullullah dan khulafauRasyidin maupun zaman Umaiyyah dan Abbasiyah. 

 

Keadaan ini jelas menepati ramalan baginda Rasulullah saw dalam sepotong hadith sahih yang bermaksud, "Islam bermula secara dagang (ghareeb) dan akan kembali dagang sepertimana mulanya, dan berbahagialah mereka yang masih berpegang dan berjuang dengan Islam (al-ghuraba’) pada ketika itu". (Al-Hadith). Dalam istilah masakini, ia disebut sekular, iaitu, memisahkan realiti kehidupan umat Islam dari ajaran Islam yang menyeluruh, selaras dengan ungkapan pendokong-pendokong sekular yang masyhur, "Agama dan Pemerintahan tidak boleh bercampur". Fenomena yang mengecewakan ini tidaklah berlaku secara tiba-tiba, tetapi ia merupakan satu natijah yang lahir dari proses sekularisasi yang panjang. 

 

Proses ini diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan dirancang sebegitu rupa melibatkan kerajaan-kerajaan salib di Eropah dan Amerika, Komunis di Russia serta Gerakan Zionis yang dipelopori oleh orang- orang Yahudi. Ia bermula dengan usaha-usaha memecahbelahkan perpaduan dan kesatuan daulah Uthmaniah di kalangan orang-orang Turki dan Arab. Ini pun pada hakikatnya adalah lanjutan daripada aktiviti-aktiviti dan konspirasi jahat bangsa Yahudi sejak zaman awal Islam lagi. Akhirnya daulah yang sangat digeruni oleh semua musuh-musuh Islam tersungkur di tangan talibarut Yahudi, Mustafa Kamal Attartuk. Ia tidak berakhir di sini. Ia diikuti dengan penguasaan kuasa-kuasa penjajah keatas negeri-negeri Islam yang telah berpecah-pecah. 

 

Dengan ini bermulalah episod seterusnya, iaitu operasi penjajahan pemikiran dan penyelewengan aqidah ke atas umat Islam di seluruh dunia. Kesannya, berlakulah apa yang telah berlaku. Manusia yang namanya nama muslim tapi jiwa dan pemikirannya ialah apa yang telah diwarnai oleh Barat. Bahkan dia sanjung dan junjung semua yang datang dari barat tanpa tapis-tapis lagi. Zahirnya mereka menjunjung tinta-tinta AlQuran tapi ajarannya samasekali di kesampingkan. Bagaimanapun adalah mustahil semua ini berlaku dengan hanya usaha musuh. Benteng umat yang rapuh menyebabkan serangan dari segenap penjuru berjaya mengenai sasarannya. Kerapuhan ini bermula dengan bibit-bibit kelemahan iman dan pencemaran aqidah yang akhirnya disusuli dengan kekeliruan demi kekeli-ruan dalam memahami konsep atau tasawwur Islam itu sendiri. 

 

Untuk kita keluar daripada kemelut ini tidak mungkin kita berjaya sekiranya kita mengambil pendekatan ‘di mana rosak di situ kita baiki’. Islam tersungkur kerana musuh-musuhnya merobah sistem khilafah semua sekali sehingga tidak ada lagi di atas muka bumi ini, maka begitu jugalah untuk Islam bangun semula ia perlu merobah sistem yang ada secara keseluruhan- nya bahkan dari akar umbinya. Inilah yang dilakukan oleh Rasu-lullah saw sejak dari awal dakwah baginda.

 


KE ATAS - ALQAYYIM - ARKIB


©TARBAWI WEB PUBLISHER 1998 Sila berkunjung lagi untuk keluaran akan datang, insya'Allah.