Semasa di Jordan, saya pernah dirawat
sebanyak dua kali di Jordan
Islamic Hospital. Nama itu adalah nama yang
berat untuk dipikul oleh
sebuah hospital kerana ia membawa kepada
masyarakat menilai setiap aspek
hospital tersebut sama ada menepati Islam
atau tidak. Memang tidak
dinafikan, hospital tersebut cuba menjaga
pelbagai sudut operasinya agar
menepati Islam. Saya menghargainya.
Misalnya, wad lelaki dan perempuan
diasingkan, di mana wad perempuan
dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan
perempuan. Daripada jururawat,
hinggalah kepada kerani dan pekerja
membersih lantai. Manakala di wad
lelaki pula, keadaannya sama iaitu semua
jururawat dan kakitangan yang
lain, lelaki. Mungkin kita sinis dengan
situasi begini, tetapi
sekurang-kurangnya Jordan Islamic Hospital
telah mengorak langkah.
Namun, apa yang saya kenang sampai bila-bila
adalah budi bahasa
kakitangan hospital tersebut. Selepas
menerima rawatan, saya diserahkan
bil sebanyak JD1200 iaitu kira-kira RM7
ribu. Tentulah jumlah ini
mustahil untuk saya. Saya bertanya, apakah
ada peluang untuk saya
memohon bantuan kewangan atau mungkin
dikurangkan jumlah bil tersebut.
Saya diberitahu oleh kakitangan kewangan
hospital, agar berjumpa terus
dengan pegawai yang bertanggungjawab di
dalam hal ini.
"Saya mohon agar dikurangkan bayaran bil ini
kerana jumlahnya terlalu
besar. Saya memilih untuk menjalani
pembedahan di hospital ini kerana
saya yakin dengan 'kualiti perkhidmatan'
yang diberikan, di samping
suasana Islamnya', saya cuba memohon
pertimbangan.
"Ya akhy!, bagaimanakah kesihatan kamu
sekarang?", itu ayat yang
keluar dari mulut pegawai tersebut.
"Alhamdulillah beransur baik. Syukur kepada
Allah.", saya menjawab
sambil terpinga-pinga menanti jawapan
tentang bil itu tadi.
"Selain rawatan, apakah yang kamu dapat
selama kamu berada di
hospital ini?", tanyanya lagi.
"Saya dapat dua orang kawan baru. Seorang
pesakit berbangsa Sudan
yang menghadiahkan saya lawatan setiap hari.
Dia sentiasa membantu saya
bangun untuk mengerjakan Solat. Seorang lagi
adalah pesakit dari selatan
Jordan.
Dia menghadiahkan saya senaskhah al-Quran dan seutas
tasbih.
Pelajaran berharga yang saya dapat adalah
PERSAUDARAAN ISLAM", saya cuba
memberikan penjelasan.
"Setujukah kamu kalau saya katakan Islam itu
indah?", beliau
seakan-akan cuba menduga saya.
"Ya, memang indah", saya menjawab.
"Jika persaudaraan menjadi Islam, ia menjadi
persaudaraan yang indah.
Jika kehidupan kita menjadi Islam, ia
menjadi kehidupan yang indah. Jika
hospital ini menjadi Islam, ia pasti menjadi
hospital yang indah. Betul
tak?", beliau tersenyum kepada saya.
"Ya, saya hanya sakit fizikal, tetapi
fikiran dan jiwa saya tenang.",
saya membalas.
" Ya akhi, tulislah di kertas ini apa-apa
cadangan kamu untuk kami
tingkatkan kualiti perkhidmatan kami di
sini. Kamu sudah membayar 200
Dinar semasa pendaftaran tempoh hari, betul
tak?", ujarnya.
"Ya. JD200", saya menjawab.
"Nah, ambillah baki 60 Dinar. Jagalah
kesihatan kamu sebab kamu
pelajar Syariah. Kamu perlukan kesihatan
yang baik untuk melaksanakan
tugas kamu di dalam masyarakat", pegawai itu
menghulurkan tiga keping
wang kertas 20 Dinar bersama sekuntum
senyuman.
Subhanallah, saya jadi keliru. Saya
sepatutnya membayar JD1200 tetapi
akhirnya, menjadi hanya JD140 sahaja.
Saya cuba mendapatkan penjelasan
berkenaan
dengan hal ini. Kata
pegawai terbabit, mereka meletakkan cas
yang
standard kepada pesakit
kerana hospital itu adalah hospital pakar
swasta. Namun, ia adalah
keperluan, bukan tujuan. Sebarang bantuan
kewangan,
hanya dihulurkan
jika pesakit atau warisnya mahu bertemu
dengan pegawai
yang telah
ditetapkan. Dan apabila bertemu, pegawai itu
akan melaksanakan
misinya
menyampaikan mesej-mesej Islam kepada
pesakit atau waris tersebut.
Itulah kenangan saya semasa menerima rawatan
dan pembedahan di Jordan
Islamic Hospital. Apa yang menjadi ingatan
saya hingga ke hari ini,
bukanlah pada kecantikan landskapnya, atau
wad dan bilik pembedahan yang
canggih. Tetapi yang menjadi ingatan untuk
saya terus mendoakan kemajuan
hospital tersebut adalah pada budi bahasa
pegawainya, serta
'pelajaran-pelajaran berharga' selama saya
di hospital tersebut.
Mungkin ada yang ketawa sinis membaca cerita
saya ini. Alahai macam
hospital di kayangan pula bunyinya!
Izinkan saya untuk membalas ketawa itu
dengan senyuman. Seorang yang
mahu menikmati Syurga Akhirat, mestilah
terlebih dahulu menikmati Syurga
dunia. Syurga dunia itu adalah pada
kesejahteraan iman dan ketenangan
diri yang syukur, sabar dan redha. Jika
rumah tangga kita bagai neraka,
jika tempat kerja kita bagai neraka,....
Maafkan saya, dari Allah jua dipohon
keampunan.
Wassalamualaikum wbt.