Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a:
Daripada Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda: “Sesungguhnya zaman
itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi.
Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang
haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah
dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak
antara Jamadilakhir dan Syaaban.” Kemudian Baginda bertanya: Bulan apakah itu?”
Kami menjawab: “Allah dan RasulNya yang
lebih mengetahui.” Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka
bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda bertanya: “Bukankah
ia bulan Zulhijah?” Kami menjawab: “Benar.”
Baginda bertanya lagi: Negeri apakah
itu?” Kami menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.” Sejenak
baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan
menyebutnya dengan nama yang lain. Baginda bersabda: “Bukankah ia negeri Baldah?”
kami menjawab: “Benar.” Baginda bertanya: “Hari apa kah itu?” Kami menjawab: “Allah
dan RasulNya yang lebih mengetahui.” Sejenak baginda diam saja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda
akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda s.a.w bersabda lagi: “Tidakkah itu
hari an-Nahr? (hari perayaan)” Kami
menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya darahmu, harta bendamu (Kata
Muhammad Aku menyangka baginda bersabda pula) dan kehormatanmu adalah haram ke
atas dirimu, seperti haramnya harimu yang sekarang ini, di negerimu ini dan di
bulanmu ini. Kamu akan bertemu dengan Tuhanmu. Dia akan bertanya kepadamu
mengenai semua amalan kamu. Maka selepasku nanti janganlah kamu kembali kepada
kekufuran atau kesesatan, di mana kamu akan berkelahi antara satu sama lain.
Ingat, hendaklah orang yang hadir pada saat ini mesti menyampaikan kepada orang
yang tidak ada pada waktu ini. Boleh jadi sebahagian dari mereka yang mendengar
dari mulut orang kedua lebih dapat menjaga daripada orang yang mendengarnya
secara langsung.” Kemudian baginda
bersabda: “Ingat, bukankah aku telah menyampaikannya?“
|
|