Assalamu
'alykum wr wb,
Alhamdulillah, segala puji-pujian kita persembahkan kepada Allah swt kerana atas limpahan kurnia dan rahmatNya kita dapat bersua lagi setelah
hampir 2 minggu tidak mengemaskinikan
laman yang ringkas ini.
Ini berikutan cuti 'Ayd ElAdha dan Thaipusam. Komputer
kami juga mengalami masalah teknikal yang
menyebabkan sambungan ke internet tergendala
beberapa hari. Teruskan
ceria dan bertaqwa melayari
Laman Tarbawi.
Bila Iman Menguasai Diri
(2)
Dalam iftitah yang lalu kita telah menyentuh secara ringkas tentang natijah keberkesanan iman ketika mana ia menguasai hati manusia. Kali
ini kita masih melanjutkan bicara kita sekitar
topik yang sama lantaran kepentingannya
dalam hidup mati kita. Mari kita tadabbur
kembali firman Allah dari surah AtTaubah
yang dipaparkan dalam iftitah yang lalu.
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا
كَتَبَ اللّهُ لَنَا هُوَ مَوْلاَنَا وَعَلَى اللّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
"Katakanlah: Tidak sekali-kali akan
menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.
Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan maka kepada Allah jualah hendaknya
orang-orang yang beriman bertawakal." (AtTaubah:51).
Ayat
yang mulia ini mengingatkan kita kepada
ketegasan Maulana Abul A'ala AlMaudidi dalam
kenyataan bela dirinya setelah dijatuhkan
hukuman mati pada tahun 1953 semata-mata
kerana mengarang buku 'Masalah Qadiani'
yang mendedahkan rancangan Inggeris menyebarkan
ajaran sesat melalui Ghulam Ahmad. Dengan
tegas dan berani beliau berhujjah:
"Adalah
lebih baik saya menyerahkan nyawa kepada
Allah daripada mengemis belas kasihan pemerintah
yang zalim. Jika kematian saya sudah
menjadi ketetapan Allah, saya redha dan
rela menyerahkan nyawa saya. Sebaliknya
jika ketetapan Allah menentukan saya masih
belum ajal, mereka tidak akan mampu
untuk menimpakan sesuatu ke atas diri
saya."
Ketegasan
beliau menggugah Tuan Hakim lantas
hukuman mati digantikan dengan penjara.
Beliau dibebaskan pada 28 April, 1955,
setelah dipenjarakan selama 26 bulan.
Betapa iman dan i'itiqadnya dapat membebaskan
beliau dari rasa takut dan pengecut.
Lantaran
itu ikhwah dan akhowat, marilah kita segera
memperbaharui iman kita dengan menyemadikan
keyakinan dan i'itiqad di sanubari kita
bahawa kesudahan buruk atau baik adalah
ketentuan Allah swt. Jika Allah
mahu memberikan sesuatu kepada seseorang
tiada siapa yang boleh menghalangnya; begitu
juga sebaliknya jika Allah menahan sesuatu
tiada siapa yang dapat memberinya. Seseorang
itu tidak akan mati sehingga ia menyelesaikan
habuan rezekinya dan ajalnya.
Inilah
keyakinan hati seorang mukmin yang berkeupayaan
menjadi benteng dan perisai dalam menghadapi
jatuh bangun kita di atas jalan da'awah
dan tarbiyah yang panjang ini. Penguasaan
fikrah semata-mata tanpa penguasaan iman
dan aqidah yang mantap di hati tidak akan
membawa kita ke mana-mana. Tanpa penguasaan
iman dan fikrah kita mudah menggelabah menyerah
kepada situasi di persekitaran kita. Kita
bukan lagi seorang yang berpegang kepada
prinsip, kita mudah mengikut arus. Akhirnya
kita hanyut bersama arus jahiliyah yang
amat deras melanda masyarakat hari ini.
|