Assalamu 'alykum wr wb,
Alhamdulillah, segala puji-pujian kita persembahkan
kepada Allah swt kerana atas limpahan kurnia dan
rahmatNya kita dapat bersua lagi di laman ringkas ini
untuk meneruskan usaha kecil tazkirah cyber di medan
tarbiyah kita.
Setakat
ini kita telah memfokuskan pokok perbincangan iftitah
kita kepada aspek-aspek asas dalam Tarbiyah Islamiyah
Harakiyahi. Ini memandangkan kefahaman terhadap
tasawwur tarbiyah amat penting untuk dihazamkan dan seterusnya
dilaksanakan sepenuhnya untuk membolehkan kita menjadi
muslim mukmin yang menepati syarat-syarat tauthiq (شروط
توثيق) sebagai al-akh di atas jalan da'awah kita.
Kita
sama sekali tidak akan jemu bermutola'ah
berulang-ulang dalam perkara pokok dan dasar
sepertimana kita tidak pernah jemu mendirikan solah,
berpuasa, bertilawah dan sebagainya. Namun sekiranya
kita mendekati tarbiyah dengan pendekatan akademik
yang tidak lebih daripada 'mental exercise'
semata-mata sudah tentu ia akan menjemukan aqal kita.
Hal ini sama seperti seorang yang hanya jasadnya
melaksanakan solah tapi hatinya jauh ditempat lain
justeru solah itu dirasakan amat berat dan membosankan.
Laluan Tarbiyah Panjang dan Memenatkan
Jalan
da'awah yang mengambil manhaj yang telah dirintiskan
oleh Rasulullah saw jarang dihiasi dengan limpahan
kesenangan dan kemewahan. Lantaran itu ramai yang
memandang bahawa jalan ini amatlah panjang serta penuh
dengan kesukaran dan kerumitan. Namun pada hakikatnya
tidak ada lagi jalan lain yang memungkinkan kita
sampai kepada matlamat da'awah kita. Sebarang jalan
pintas yang cuba direntas dalam menempuh
marhalah-marhalahnya atau tiada keteguhan (ثبات) pada
tiap-tiap marhalah tersebut akan memungkinkan binaan
yang sekiranya terbentuk nanti menjadi condong atau
roboh.
Oleh itu
faktor masa bagi kita tidak diukur dengan usia
seseorang, akan tetapi kepada usia da'awah itu sendiri
dan juga kepada usia ummah. Bukankah Daulah Islamiyah
telah wujud berterusan selama hampir 14 abad
sehinggalah umat muslimin membiarkannya jatuh ditelah
zaman kemerosotan sejak kurun yang lalu! Atas hakikat ini,
kita tidaklah mengharapkan dengan tergesa-tergesa
untuk menegakkan dan mendirikannya dengan teguh dan
menyeluruh (عالمي) hanya dalam tempoh yang singkat. Bila
mana telah sempurna asasnya maka akan meninggilah
binaan itu dengan tegapnya, insya'Allah.
Dalam
hal ini, seperti yang kita sedia maklum, Allah swt
tidak mempertanggungjawabkan kepada kita tentang
natijah, sebaliknya kita akan dipertanggungjawabkan
tentang 'amal kita di hadapan Allah swt di Padang
Mahsyar nanti. Bertolak daripada kefahaman dan
keyakinan ini kita tidak akan tergesa-gesa dan gopoh
untuk memetik buah sebelum masaknya; sebaliknya kita
mengutamakan dan memberi perhatian yang jitu terhadap
setiap 'amal pada setiap marhalah yang kita lalui.
Persoalannya sekarang adakah kita merasa jemu dan
bosan dengan kerja-kerja da'awah dan tarbiyah
semata-mata kerana kita rasa telah terlalu lama di
atas jalan da'awah ini tetapi belum nampak di sana ada
tanda-tanda bahawa ada cahaya di hujung terowong yang
gelap? Jika jawapannya ya maka itulah tanda-tanda
keraguan yang telah menguasai hati kita. Atau
mungkinkah kita jemu dan keberatan untuk menyahut
ajakan untuk ber'amal kerana habuannya tidak nampak
dengan mata kasar bahkan ia mungkin akan mengurangkan
sebahagian daripada keselesaan dan kesenangan duniawi
yang kita kecapi? Tepuk dada tanya iman kita! |