Assalamu 'alykum wr wb,
Alhamdulillah, segala puji-pujian kita
persembahkan kepada Allah swt kerana atas limpahan kurnia dan rahmatNya kita
dapat bersua lagi setelah 2 atau 3 minggu tidak dikemaskinikan.
Iftitah kali ini memetik kata-kata AlMarhum Ustaz Mustofa Masyhur yang telah
mengungkap kembali kata-kata Imam AsSyahid Hasan AlBanna dalam menyifatkan
betapa kecilnya pusingan kitaran kuantiti orang-orang yang beriman, ber'amal dan
istiqamah di atas jalan da'awah yang menjejaki manhaj nabawi. Mudah-mudahan
kita tergolong di kalangan mereka yang sedikit itu, insya'Allah.
Mustawa dan Masuliyah Kita
Jika kita perhatikan
masyarakat manusia masa kini, kita dapati semuanya berada dalam kesesatan
kecuali para muslimin yang berpegang dengan 'aqidah tauhid yang sejahtera yang
diterima Allah. Daripada kalangan ini kita dapati amat sedikit sekali yang
benar-benar faham tentang Islam dengan kefahaman yang sohih, syumul dan bersih
sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para Salaf AsSoleh.
Manakala dari kalangan
mereka yang faham ini, bilangan mereka yang ber'amal dengan kefahaman yang sohih
itu pula amatlah sedikit daripada bilangan yang sememangnya telah sedikit itu.
Seterusnya bilangan mereka yang tetap tabah dan istiqamah dari kalangan yang
ber'amal itu, dan sanggup pula menanggung masuliyah serta taklif 'amal Islami
lagi sabar meredah kepayahan perjuangan, amatlah sedikit sekali daripada
bilangan yang telah sedia amat sedikit itu.
Demikianlah kita dapati betapa sempit, kecil
dan terbatasnya pusingan orang-orang yang beriman, namun dengan cara itu
sahajalah akan terangkat darjat-darjat mereka ke satu martabat yang tinggi.
Ketiggian dan kemuliaan ini bukanlah sanggar sanjung yang meluapkan riya' dan
'ujub, sebaliknya ketinggian dan 'izzah itu merupakan manifestasi kepada satu
tanggungjawab/masuliyah yang berat untuk dipikul. Masuliyah yang besar dan
berat itu ialah tanggungjawab mengajak dan membimbing manusia kepada Islam yang
syumul sebagai manhaj kehidupan.
Ikhwah dan akhowat, siapa lagi jika tidak kita
yang akan menyambut tanggungjawab yang berat ini! Adakah kita mengharapkan
orang-orang Islam yang tidak memahami Islam dengan kefahaman yang sohih untuk
menerima dan memikul masuliyah ini? Atau kita mengharapkan mereka yang faham
tetapi tidak ber'amal untuk melaksanakan masuliyah ini? Atau kita masih
memberi harapan kepada mereka yang faham dan ber'amal tetapi tidak tetap tabah
menanggung beban taklif 'amal Islami dan segala keperitan di atas jalannya
melakukan tanggungjawab ini?
Samasekali tidak mungkin mereka berkesanggupan
melakukannya kecuali barisan muslimin yang
faham, ber'amal serta tetap tabah di atas jalan 'amal mereka.
Fenomena sedikitnya bilangan mereka yang
faham,ber'amal dan tabah ini dalam keadaan kita berdepan dengan taufan kesesatan
yang hebat tidak akan menyebabkan kita berputus asa atau kecewa. Apa yang kita
persoalkan bukan bilangannya. Soalnya ialah antara yang haq dan yang
batil.
Begitulah Rasulullah saw bersama-sama dengan
bilangan yang sedikit dari kalangan mukmin Makkah bergerak di tengah-tengah kaum
musyrikin yang menyembah berhala, kekuasaan Rome yang menyeleweng serta puak
Yahudi yang dengki dan irihati. Dalam situasi sedemikian angkatan muslimin
masih mampu untuk menang sehingga bersihlah Semenanjung Arab dari berhala dan
kaum musyrikin, telah diterokai Parsi, telah dikalahkan kerajaan Rome dan telah
tersekat segala tipu helah Yahudi. Demikianlah tersebarnya cahaya al-haq dan
musnahnya segala bentuk kezaliman.
|